Bezakan Pilihan Keperluan dan Kehendak

0
387

Urusan jual beli bukanlah suatu yang asing dalam hidup kita malah sudah sebati sejak ribuan tahun lagi. Apabila kita menginginkan suatu barangan, kita sedaya upaya mahu membelinya sama ada murah ataupun mahal.

Namun, ramai dalam kalangan kita masih lagi tidak sedar kepentingan membezakan pembelian barangan keperluan atau kehendak.

Menurut data dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2020, sebanyak 75 peratus daripada penduduk negara ini tidak mempunyai wang simpanan sekurang-kurangnya RM1,000. Hanya enam peratus daripada rakyat Malaysia mempunyai wang mencukupi untuk meneruskan hidup lebih enam bulan pada waktu kecemasan atau tempoh susah manakala 18 peratus lagi boleh hidup dengan wang yang ada untuk tempoh lebih tiga bulan.

Daripada data tersebut, menunjukkan betapa kroniknya keadaan rakyat Malaysia  yang tiada wang simpanan mencukupi. Pandemik Covid-19 yang sudah pun berlarutan lebih daripada dua tahun juga telah meningkatkan pembelian atas talian sehingga ada pengguna yang membelanjakan lebih RM 35,000.

Tidak salah berbelanja namun perlu berhati-hati dan mengelakkan sikap boros. Nafsu manusia tak pernah puas mendapatkan apa yang dihajati sehingga membeli bermaca-macam jenis barangan sehingga tidak menyedari wang simpanan makin berkurangan  dalam bank. Kesannya, apabila berada dalam situasi terdesak, mereka menjual semula barangan yang dibeli sebelum ini untuk ‘survive’ dalam kehidupan. Namun, nilai jualan barangan tersebut, tidak sama sebagaimana yang dibeli sebelum ini kerana berlaku penyusutan harga.

Bagi mengelakkan berlakunya pembaziran ketika berbelanja, kita perlu mula membuat listing bagi membezakan di antara membeli barangan keperluan dan juga barangan kehendak. Barangan keperluan ialah barangan yang selalu kita gunakan dalam kehidupan seharian seperti barangan dapur, pakaian, makanan dan sebagainya.  Disamping membayar bil api dan air, kenderaan, tempat tinggal dan lain-lain yang berkaitan.

Manakala barangan kehendak pula, iaitu suatu barangan yang hanya sekadar memuaskan diri sendiri seperti makan di restoran makanan segera  (Mc Donalds, KFC dan Starbucks secara kerap misalnya), berpakaian berjenama, membeli kenderaan mewah (contohnya membeli kereta berjenama Honda yang diminati oleh anak muda masa kini), membeli komputer dan telefon canggih yang berharga ribuan ringgit, bercuti diluar negara dan banyak lagi. Malah ada dalam kalangan orang dewasa sanggup membeli mainan berharga ratusan ringgit sehingga mencecah ribuan ringgit untuk dijadikan koleksi di rumah.

Oleh itu betapa pentingnya kita dapat membezakan keperluan dan juga kehendak. Ada yang tidak dapat membezakan barangan kehendak dan membeli apa-apa sahaja barangan demi memuaskan dirinya. Kita perlu lebih berjimat dalam berbelanja.

Berbelanjalah mengikut keperluan dan kemampuan diri. Janganlah mengikut hawa nafsu sehingga sanggup berhutang dengan bank atau kawan demi mendapatkan barangan yang diingini. Malah ada yang sanggup berhutang dengan along sehingga  menjadi buruan pemberi hutang itu apabila lewat atau gagal menjelaskan hutang.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Selangor merekodkan jumlah individu tertinggi diisytihar muflis iaitu seramai 2,555 orang. Katanya Wilayah Persekutuan pula mencatatkan seramai 1,288 orang.

“Jumlah kes kebankrapan mengikut bilangan individu yang muflis dari Mac 2020 hingga ke Julai 2021  sebanyak 10,317 kes,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat. Daripada jumlah tersebut menunjukkan kebimbangan di mana lebih 10,000 orang telah diisytiharkan muflis. Jika trend boros berbelanja ini berterusan, jumlah muflis bakal meningkat lebih tinggi lagi.

Jadi sebagai rakyat Malaysia, berjimatlah dalam berbelanja dan buatlah perancangan hidup dengan rapi dalam jangka masa pendek dan juga panjang  supaya kita tahu kearah mana hala tuju hidup kita. Sebagai seorang muslim, kita telah diajarkan sejak dari kecil tentang perbelanjaan khususnya dalam hal halal, haram dan juga syubhah. Janganlah lupa perbanyakkan sedekah pada mereka yang memerlukan supaya  kita dapat meringankan serba-sedikit bebanan yang dipikul oleh mereka.

Ingatlah firman Allah Taala yang bermaksud: “Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatilah; dan infakkanlah harta yang baik untuk dirimu. Dan barang siapa dijaga dirinya daripada kekikiran maka mereka itulah orang yang beruntung.” (Surah atTaghabun: 16).

Sumber:

  1. Al-Quran
  2. https://www.kosmo.com.my/2020/08/23/75-peratus-rakyat-malaysia-tiada-simpanan-rm1000/
  3. https://www.bharian.com.my/bisnes/teknologi/2021/06/825243/rakyat-malaysia-semakin-banyak-berbelanja-dalam-talian
  4. https://harianpost.my/cara-semak-jumlah-wang-dibelanjakan-di-shopee/
Najmi Aiman bin Suhaimi
( Ketua Biro Komunikasi & Media ISMA Subang Jaya) 

SILA TINGGALKAN SEBARANG KOMEN

Sila tekan komen anda!
Sila masukkan nama anda