Cukup sempurnakah solat kita?

0
1217
- RUANG IKLAN -

Perit buat seorang Nabi saw apabila menerima berita kematian pakciknya Abu Talib dan isteri kesayangannya Khadijah binti Khuwalid. Bahkan keperitan itu ditambah dengan penolakan ajak kepada akidah Islam oleh masyarakat Tho’if.

Lantas Baginda Nabi Muhammad saw telah dihiburkan oleh Sang Pencipta Yang Maha Mengasihani dengan pakej pelancongan yang cukup dahsyat dan hebat, iaitu diperjalankan dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dalam tempoh waktu yang diberitakan singkat masanya, tetapi banyak ceritanya.

Pelbagai riwayat yang kita dengar berkenaan cerita perjalanan yang hebat ini. Tetapi bukan di sini ruangnya untuk kita ulangi. Hanya perlu kita singkap adalah titik besar pada peristiwa tersebut ialah berkenaan pemberian tanggungjawab ibadah kepada setiap mukallaf di bumi ciptaanNya ini, iaitu solat.

Semua kita maklum akan hadith tentang asal usul bilangan solat 5 waktu yang pada awalnya adalah 50 waktu, pun begitu Allah swt Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui akan kemampuan hamba-hamba ciptaanNya. Lalu pengurniaan 50 waktu itu hanya sikit sahaja yang diwajibkan kepada kita.

Pun begitu, masih ramai di kalangan masyarakat kita yang mukallaf tidak melaksanakannya dengan sempurna. Kita tutup mata berkaitan kesempurnaan perlaksanaanya dari sudut khusuk hati dan rukun serta sunnahnya. Ruang bicara kita berkisar soal kecukupan 5 waktu itu.

Sudah sempurnakah sang mukallaf melaksanakannya?

Adakah kita lupa bahawa kelalaian dalam perlaksanaannya mengundang bencana kesesatan dalam hidup?

Ada dua perkara rentetan daripada pengabaian solat ini.

Pertama: mengikut hawa nafsu (terjebak dengan maksiat dan dosa) “wattaba`u syahwat”.
Kedua: terhumban di lembah kesesatan “fasaufa yalqauna ghaiyya”.

Allah menyebutkan hal ini dalam surah Maryam ayat 59.

- RUANG IKLAN -

Sebaliknya umat yang berjaya dan sentiasa di landasan kebenaran adalah mereka yang menjaganya. Lihat sahaja firman Allah swt surah al-Ankabut ayat 45

Penekanan kejayaan juga diulang lagi oleh Yang Maha Esa dalam surah al-Mukminun ayat kedua.

Oleh itu, ketika kita diingatkan dengan peristiwa israk mikraj, jangnlah kita lupa bahawa Allah swt telah mengurniakan kepada kita satu ibadah yang menjanjikan kejayaan buat umat ini. Tidak perlu kita bicara soal lain sekiranya tiang agama ini diruntuhkan oleh kita sendiri.

Solat itu adalah amalan yang menentukan kejayaan seseorang. Sabda Nabi saw:

عن تميم الداري – رضي الله عنه – قال: قال رسول الله – صلى الله عليه وسلم -: (” إن أول ما يحاسب به العبد يوم القيامة من عمله صلاته، فإن صلحت , فقد أفلح وأنجح , وإن فسدت , فقد خاب وخسر “)
Daripada Tamim al-Dari r.a katanya, Rasullah saw bersabda: Sesungguhnya perkara pertama yang dihitung hamba itu adalah pada solatnya, jika baik maka berjayalah dia dan jika rosak maka rugilah dia.

Semoga dengan pengurniaan solat ini pada peristiwa agung Israk Mikraj akan menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Ustaz Mohd Azrin bin Samsudin
Ketua Biro Tarbiyah
ISMA Subang Jaya

- RUANG IKLAN -

SILA TINGGALKAN SEBARANG KOMEN

Sila tekan komen anda!
Sila masukkan nama anda