SERWANIS didik wanita hadapi tekanan emosi

0
935
- RUANG IKLAN -

SUBANG JAYA, 15 Disember 2019 – Seminar Wanita Islam (SERWANIS) anjuran Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Subang Jaya telah berjaya menghimpunkan hampir 100 orang peserta di Dewan Masjid Darul Ehsan, SS15 pada Ahad lepas.

Dr. Fatimah Zaharah Binti Rosli, Exco Penerangan Wanita ISMA ketika ucaptama menekankan pentingnya seorang wanita mempunyai emosi yang stabil apatah lagi wanitalah yang akan mencorak generasi akan datang.

Beliau turut mengingatkan bahawa bunuh diri bukanlah satu bentuk penyelesaian masalah. Ujarnya, mati lebih sukar dari hidup, sedangkan ambang kematian iaitu sakaratul maut sudah teramat pedih sebagaimana digambarkan dalam banyak hadith.

Dr. Fatimah turut berkongsi kisah kehebatan sahabiah yang patut dicontohi oleh para wanita, sebagaimana tenangnya Ummu Sulaim yang mempunyai emosi yang cukup kuat ketika menyampaikan berita kepada suaminya tentang kematian anak mereka.

SERWANIS turut membawa topik ‘Pengurusan emosi dari sudut perubatan’ yang dikupas oleh Dr. Muna Hamiza Binti Asiff. Beliau menasihatkan kepada para hadirin agar membuang stigma mengenai masalah mental.

Di samping itu, beliau menyeru semua pihak agar membantu individu yang mengalami masalah tekanan emosi dan cara untuk mengajak mereka mendapatkan rawatan di hospital.

Topik ‘Tenang Dalam Tekanan’ yang disampaikan oleh Ustazah Nazirah Binti Abd Rahim pula mengajar para hadirin cara berhadapan dengan tekanan dengan tenang. Beliau mengajak para hadirin untuk mengamalkan bacaan surah Al-Fatihah dan membacanya dengan suara yang kuat sehingga boleh didengari oleh telinga.

“Pada peringkat awal mungkin agak sukar, jangan malu baca sahaja dengan kuat,” katanya ketika mengajarkan kaedah terapi Al-Fatihah untuk menenangkan anak ketika sedang mengamuk.

Ketika ditanya, para peserta berpuas hati dan teruja dengan program kali ini.

Melihat reaksi peserta, Ketua Wanita Isma cawangan Subang Jaya ketika ditemubual berkata, Wanita ISMA akan terus komited dalam usaha untuk mengatasi masalah yang berkitar di kalangan para wanita yang merupakan aset penting Negara.

- RUANG IKLAN -

“Oleh kerana itulah, kita mengambil inisiatif mendekati para wanita dengan mengadakan program sokongan dari segi emosi, spiritual dan ekonomi,” katanya lagi.

Oleh: Mariana Amit

- RUANG IKLAN -

SILA TINGGALKAN SEBARANG KOMEN

Sila tekan komen anda!
Sila masukkan nama anda